RSS

kucing kelabu itu…

14 Jan

Kehadiran kucing kelabu berbulu lebat itu benar-benar merunsingkan hati.Sungguh.Ini bukan pertama kali aku melihat kelibatnya di aras tiga asrama Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod ini.Jika aku tidak salah,sudah kali ketiga aku melihatnya berkeliaran dengan wajahnya yang sayu seperti meminta dibelai.Aku turut simpati dengan nasib kucing kelabu itu.Ke sana ke mari membawa diri,tiada haluan tetap. Tidak bertuankah kucing itu?Alangkah kejamnya pemilik kucing itu yang sanggup membiarkannya sedemikian rupa. Paras kucing itu yang kufikir secara logiknya comel semasa mula-mula dibeli,kini bertukar comot dengan bulunya sedikit kotor tidak terurus. Jijik! Perkataan itulah yang kufikirkan akan terkeluar dari mereka yang membenci teman manusia itu.

Aku bukanlah pembenci kucing.Tidak pernah sesekali kumerasakan kehadiran kucing sebagai ‘penyibuk’,apatah lagi sebagai ‘sampah’ seperti yang diertikan sesetengah orang.Mana tidaknya,aku dibesarkan bersama-sama kucing sebagai temanku. Ibuku seorang penggemar kucing.Amat.Tidak hairanlah di rumahku saja bilangan kucing pernah mencapai belasan ekor pada satu masa. Tambahan lagi, kurasakan kehadiran mereka banyak memahatkan kenangan manis sewaktu aku kecil dahulu. Masakan aku boleh menjadi seorang yang takutkan kucing atau pembenci kucing dengan sejarahku sedemikian rupa!

Namun untuk kali pertamanya aku berasa ‘kacau’ apabila melihat kucing kelabu itu. Aku bukannya berubah menjadi seorang yang antikan kucing. Jauh sekali mendera binatang kesayangan nabi itu.Musykil dan pelik.Itulah perkatan-perkataan yang lebih tepat menggantikan perkataan ‘kacau’ yang kutulis tadi.Musykil dan pelik,kucing kelabu itu seolah-olah mencari aku.Segala pergerakannya seolah-olah telah diprogramkan ke arahku.Itulah yang dikatakan kawan-kawanku.Dalam diam,aku mengakui jua sedikit sebanyak kebenaran kata-kata mereka.Hujahnya,kucing itu tetap juga berada di aras tiga ini menanti diluar pintu bilikku.

Aku masih ingat bagaimana tidurku terganggu gara-gara kawan-kawanku yang bising mencari seekor kucing kelabu Khamis lepas.

“Tu..dia masuk bawah katil Kamil,”ujar X.

“Dah masuk bawah katil susahlah..dahlah aku tengah masak ni,”jawab Y pula.

Tetapi pada masa itu,aku tetap meneruskan tidurku walhal kenikmatan tidur itu sendiri sudah cukup terjejas. Sudah tentu aku yang perlu mengeluarkan kucing itu daripada katilku jika aku bangun. Kaku mematikan diri adalah tindakan yang tepat pada masa itu.Aku bukannya malas,jauh sekali mementingkan diri sendiri.Tetapi entah mengapa,aku benar-benar penat dan tidak mahu melayan sebarang unsur luaran yang mengganggu nyenyak tidurku.Setelah X berjaya mengeluarkan kucing itu dari katilku,aku kembali menyambung mimpiku yang sudah tidak bertajuk.

Petang Jumaat merupakan giliran aku masak.Setelah selesai menghiris bawang,bahan-bahan untuk dimasak kubawa ke dapur.Alangkah terkejutnya aku apabila melihat seekor kucing kelabu di hadapan pintu bilikku.Senyap.Tidak berbunyi.Aku fikir,inilah kucing kelabu yang kawan-kawanku maksudkan.Sepantas kilat,kucing itu masuk ke dalam bilikku,dan lebih memburukkan keadaan,katilku dijadikan pusat persembunyiannya.Aduh,ini dikira parah! Takkanlah aku hendak menghalau kucing itu keluar,sedangkan aku sedang sibuk memasak.Tambahan lagi kucing itu yang dilihat tidak begitu bersih,sudah tentu akan mencemarkan makanan yang akan kumasak nanti.Tidak terbayang berapa banyakkah bakteria dan virus yang menghuni kucing dalam keadaan sebegitu.Bukan menghina,tetapi itulah fikiran negatifku ketika itu yang membawa kepada perkara positif,iaitu masakanku tidak akan dicemari oleh bakteria dan virus durjana itu!

Mahu tidak mahu,kubasuh tanganku dan mengeluarkan kucing itu dari katilku.Ku letakkan kucing itu jauh dari bilikku.Maaf,ketika itu tiada makanan untuk diberi.Ketahuilah bahawa aku bukannya kedekut wahai si kucing kelabu.

Kucing kelabu itu muncul lagi petang Sabtu.Masih sama,cuba menyelinap masuk ke bilikku dan bertapa di bawah katilku.Tatkala itu,geramku sudah sampai kemuncaknya.Tanpa berfikir panjang,aku mengangkat kucing itu jauh ke tingkat sembilan,iaitu tingkat teratas asramaku ini dengan harapan kucing itu tidak datang kembali bersembunyi di bawah katilku. Geramku itulah yang menjadi kekuatan untuk mengangkat kucing kelabu yang berat itu.Aku mengetahui bahawa deria kucing bukanlah seperti manusia.Mereka dikurniakan Allah deria yang tajam,khusus untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman.Walaupun menyedari hakikat ini,aku masih berikhtiar setidak-tidaknya.Bukankah begitu?

Ya,deria kucing amatlah kuat.Tiada sebarang penafian dapat dibuat.Tidak hairanlah,kucing yang kutinggalkan jauh di tingkat sembilan datang kembali ke bilikku,seolah-olah aku adalah tuannya. Kau lagi?? Tidak! Aku tidak akan membiarkannya berlaku.Diri sendiri tidak terurus,apatah lagi hendak menguruskan kucing yang masih tidak diketahui siapakah tuannya.Rupa-rupanya bukan aku dan kawan sebilikku sahaja yang menyedarinya.Bahkan,kawanku dari bilik hujung juga mengatakan kucing itu sengaja mencariku.Tambah menggamatkan suasana,ada yang berpendapat bahawa di bawah katilku terdapat najisnya yang menjadi ‘kompas’ bagi kucing kelabu itu. Aku tahu itu tidak benar,kerana sudah pun kumeneliti segenap ruang bilikku kalau-kalau benar terdapat najis kucing itu.Deria bauku juga tidaklah begitu teruk sehingga tidak dapat mengesan bau najis. Persoalannya kini,mengapakah kucing kelabu itu masih menjejaki bilikku ini?

 

 Kumasih mencari dan berfikir,bagaimanakah keadaanya selepas ini.Adakah kucing kelabu itu masih berkeliaran di aras tiga ini?Aku tidak mampu untuk menjaganya,dan tidak mahu dituduh tidak bertanggungjawab sekiranya sebarang kecuaian berlaku sekiranya kucing itu tinggal bersama-samaku.Sedang aku masih menaip kisah ini,kucing kelabu itu masih enak tidur di depan bilik kawanku,menunggu saat kealpaanku untuk mencuri masuk ke sini mungkin….

 
1 Comment

Posted by on January 14, 2008 in Uncategorized

 

One response to “kucing kelabu itu…

  1. syden

    August 12, 2008 at 8:43 am

    jadi, apa yg telah terjadi dengan kucing kelabu itu?

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: