Sekarang hangat diperkatakan tentang bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)di Malaysia.Terbaru,mereka yang memperjuangkan Bahasa Melayu telah membuat perhimpunan secara besar-besaran bagi membantah PPSMI di Masjid Negara semalam.Perhimpunan secara besar-besaran ini jelas menunjukkan bahawa PPSMI ditentang oleh sebahagian rakyat Malaysia.
Secara peribadi,aku juga tidak bersetuju dengan PPSMI ini.Siapalah aku untuk bersuara lantang,namun aku hanya mampu memberikan pendapat peribadi sebagai seorang pelajar saja.
Isu PPSMI ini bukanlah isu yang boleh dipandang remeh.PPSMI adalah bertujuan untuk memperkasakan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sejak di bangku sekolah,supaya mereka boleh bersaing di peringkat global apabila berada di menara gading atau berkerja kelak. Namun demikian,usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar yang dilihat bertujuan baik itu nampak kabur pada cara untuk mencapai matlamatnya.
Ada yang berpendapat bahawa pelaksanaan PPSMI penting supaya para pelajar lebih mudah menguasai istilah-istilah Sains dan Matematik sejak di sekolah supaya tidak ‘terkejut’ ketika di universiti nanti. Jika begitu,mengapa tidak istilah-istilah itu saja yang diajar secara sampingan berbanding sistem pembelajaran Sains dan Matematik secara keseluruhan dalam Bahasa Inggeris? Tidakkah ini dilihat seperti membunuh Bahasa Melayu itu sendiri,sekaligus menidakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?
Aku ingin berkongi mengenai uniknya Rusia yang terkenal dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas.Tetapi,aku mahu berkongsi mengenai bidang perubatan di Rusia. Umum mengetahui bahawa Rusia merupakan sebuah negara bangsa,yang mana rata-rata rakyatnya hanya berbahasa Rusia dan tidak mengetahui Bahasa Inggeris. Mungkin ada yang tergelak besar apabila mendengar mereka berbahasa Inggeris,kerana cacat bunyinya. Tapi apa yang lebih penting,Bahasa Rusia mereka jelas dapat menyampaikan ilmu secara berkesan.
Contoh yang aku ingin bawa di sini ialah bagaimana pesakit-pesakit di Rusia mampu memberikan istilah-istilah yang tepat untuk simtom-simtom penyakit mereka,tanpa perlu mereka mempelajari bidang perubatan! Semester lepas,ketika mempelajari subjek Paediatric,pensyarah kami yang juga pakar kanak-kanak telah membawa kami berjumpa dengan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang menghidap Pneumonia. Pensyarah kami bertanya kepada kanak-kanak itu, bagaimana doktor mengetahui awak menghidap Pneumonia? Kanak-kanak itu menjawab, Врач высушал хрип в лёгких и снимки (Vrac vislushal hrip v liogkih i snimki)-Doctor heard crepitation during auscultation and X-ray!
Aku tidak mampu untuk menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu. Tetapi untuk pemahaman,budak itu menjawab bahawa doktor telah mendengar sesuatu pada paru-parunya dan keputusan X-ray membawa kepada diagnosis penumonia itu.Bagi aku,memang macho betul budak tu! Kecil lagi sudah tahu ‘crepitation’. Benar,budak itu mungkin tidak mengetahui apakah maksud sebenar ‘crepitation‘ itu,namun demikian,ia telah membantu doktor untuk membuat diagnosis dengan lebih mudah. Perkataan хрип (hrip)-crepitation yang disebut oleh budak itu memang terdapat dalam Bahasa Rusia sebagai bahasa pertuturan,dan tidak perlu menjadi doktor untuk mengetahui perkataan itu. Ini hanyalah satu contoh, dan sebenarnya banyak lagi contoh lain.
Sehingga sekarang,aku masih tidak mengetahui perkataan yang tepat dalam Bahasa Melayu untuk menggambarkan palpitation. Adakah rasa jantung berdegup-degup?Debaran dada? Bahasa Rusia mempunyai perkataannya tersendiri untuk ‘palpitation‘,iaitu сердцебиение (sedsebienie). Heart burn pula apa ya?Rasa panas dada? Mungkin akan disalahanggap oleh pesakit sebagai panas kerana tidur tak berkipas! Panas dan sesak dalam dada? Aku tak pasti pula.
Aku tidak bermaksud langsung untuk merendah-rendahkan Bahasa Melayu. Apa yang aku ingin sampaikan di sini ialah,betapa pentingnya penggunaan bahasa sendiri sebagai medium untuk pengajaran dan pembelajaran,lebih-lebih lagi untuk subjek berat seperti Sains dan Matematik itu. Bukankah bagus jika Bahasa Melayu juga mempunyai istilah-istilahnya tersendiri? Pelaksanaan PPSMI hanya akan melemahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang sepatutnya.
Ringkasnya,ada jalan yang lebih baik jika hendak memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar.Memetik kata-kata seorang komentar di sebuah blog yang pernah aku baca,peratusan pelajar yang mampu menjawab ‘satu tambah satu’ adalah lebih tinggi berbanding pelajar yang mampu menjawab ‘one plus one’, walaupun jawapannya adalah sama.
Jujurnya,aku lebih suka melihat perkataan Janjang Aritmetik,Lokus Dalam Dua Matra dan Teori Kebarangkalian ditulis dalam buku itu…